Friday, February 20, 2009

SURAH AN-NISA':59,"TAATILAH ALLAH,TAATILAH RASUL DAN PEMIMPIN DI KALANGAN KAMU"

SALAH TAFSIR SEMBAH DERHAKA

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - "...ada pemimpin yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati dengan baginda. Bukankah itu satu tindakan yang jauh lebih menderhaka lagi."

(Bahagian pertama)Image

Beliau adalah antara ulama terkemuka yang masih berhubung rapat dengan Istana dan Raja-Raja Melayu, tetapi tetap dekat di hati rakyat. Justeru, Dato' Dr Haron Din dirasakan tokoh paling sesuai yang boleh mengupas situasi gawat di Perak terutama berkaitan hal yang digembar-gemburkan media, iaitu isu taat setia kepada kepimpinan dan masalah derhaka kepada Raja-Raja Melayu, dari perspektif agama.

Ketua Pengarang Kumpulan Harakah AHMAD LUTFI OTHMAN dan Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN beserta jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH sempat mewawancara Timbalan Mursyidul Am PAS itu, di kediamannya di Bandar Baru Bangi, pagi 16 Februari lalu.

HARAKAH: Insiden di Perak, terutama berkaitan kegagalan Menteri Besar, Dato' Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin untuk mematuhi titah Sultan agar meletakkan jawatan disorot dari pelbagai sudut. Ada pihak merujuk kepada maksud surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud, "Taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin di kalangan kamu," bagi menempelak tindakan Nizar yang dianggap melanggar tuntutan al-Quran itu. Minta Dato' jelaskan.

DR HARON DIN: Telah berlaku beberapa kali dalam peristiwa di Malaysia, PAS menggunakan ayat-ayat al-Quran itu sebagai suatu hujah untuk mengajak manusia mengikut perintah Allah sesuai dengan dasar PAS sendiri untuk merealisasikan hukum Allah SWT. Adapun Umno-BN menggunakan ayat ini dan ayat al-Quran yang lain hanya untuk kepentingan dan memberi keuntungan kepada mereka semata-mata. Image

Ayat al-Quran sememangnya boleh dijadikan sandaran hujah dan ianya ayat 'muhkam.' Namun kita nampak sangat bahawa mereka hanya guna yang di hujungnya sahaja iaitu 'pemimpin di kalangan kamu' tetapi tidak memberi perhatian kepada pangkal ayat iaitu 'Taatilah Allah dan taatilah Rasul", seolah-olah menggambarkan bahawa perintah Allah dan Rasul boleh dilanggar namun, jangan langgar arahan pemerintah.

Mereka sengaja tidak mahu melihat, istilah yang Allah guna, pertamanya kalimah 'taat' hanya kepada Allah. Kali kedua disebut 'taat' hanya pada Rasul dan kali yang ketiga tiada perkataan 'taat' kepada pemimpin. Diulang dua kali perkataan 'taat'. Kali ketiga bila menyebut perkataan pemimpin, tiada perkataan 'taat'.

Ahli-ahli tafsir menafsirkan ayat ini bahawa perintah Allah dan Rasul wajib ditaati secara mutlak, adapun taat kepada pemerintah adalah tidak secara mutlak. Maknanya, taat kepada pemimpin selama mana ia tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul.

Untuk mentaati perintah Ulil Amri ataupun pemerintah, ada kaedahnya iaitu yang Nabi sebut,taatlah kepada pemerintah selagi ia tidak menderhaka kepada Allah SWT. Kalau ada derhaka kepada Allah maka perintah taat tadi gugur. Ada hadis bermaksud, tidak boleh taat pada mana-mana makhluk dalam melaksanakan kemaksiatan kepada Allah.

Dalam Islam, tiada orang yang maksum selain daripada Rasullulah. Pemerintah Islam iaitu Ulil Amri ataupun khalifah-khalifah, tidak maksum. Contohnya, Umar al-Khatab pernah dibawa ke mahkamah dalam beberapa kes. Hatta Saidina Ali Abi Talib pun pernah dibawa ke mahkamah semasa jadi khalifah. Mereka boleh terima keadaan begitu dengan berlapang dada tanpa timbulisu atau masalah derhaka kepada pemerintah atau khalifah. Image

Dalam satu kes, Ali pernah mendakwa baju besinya dicuri oleh seorang Yahudi. Dan Yahudi itumembawanya ke mahkamah untuk dibicarakan. Hakim bertanya Ali tentang bukti Yahudi itu mencuri, namun Ali gagal membawa bukti yang cukup dan mahkamah memutuskan bahawa baju besi itu kepunyaan Yahudi.

Ali kalah dalam perbicaraan tetapi tidak timbul masalah dengan seperti yang dibebankan hari ini. Oleh itu pengunaan ayat itu sepatutnya difahami secara menyeluruh. Bahawa yang tidak boleh dipersoalkan ialah ketaatan pada Allah dan Rasul. Adapun kepada mana-mana makhluk ianya tidak mutlak. Ada ketikanya boleh dan ada masanya tidak boleh. Bergantung kepada keadaan dan suasana ketika itu.

Elok sangat jangan disalah-tafsirkan ayat itu sehingga memaknakan ia seolah-olah perintah yang dikeluarkan pemerintah selama-lamanya tidak boleh disanggah. Itu kefahaman yang silap. Ia perlu diperbetulkan.Lagi satu, maksud "pemimpin di kalangan kamu". Perkataan "di kalangan kamu" membawa maksud "di kalangan orang-orang yang beriman yang taat pada Allah dan taat Rasul".

Bukan setakat itu, dalam konteks di Perak ini, Nizar merujuk tindakannya adalah mengikut kehendak Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, iaitu Sultan tidak mempunyai kuasa memerintahkan ia meletakkan jawatan. Sultan hanya ada kuasa membenarkan permohonannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri ataupun tidak.

Maknanya, selain tafsiran ayat Quran di atas, Nizar mempunyai hujah kukuh dari segi undang-undang yang berjalan hari ini?

Saya sendiri melihat senario politik Perak itu berbalik kepada kefahaman terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri. Kefahaman dan tafsiran yang berbeza boleh berlaku. Oleh yangdemikian kelainan tafsiran sepatutnya tidaklah sampai mengatakan ianya satu penderhakaan. Image

Tafsiran yang ada pada orang awam mungkin lain kepada tafsiran yang dibuat oleh pakar undang-undang. Tafsiran pengamal undang-undang juga mungkin lain seperti yang ditafsirkan oleh hakim-hakim di mahkamah. Semua ini kena ambil kira.

Kes Perak, saya sendiri faham bahawa seorang menteri besar yang dilantik secara sah mengikut amalan negeri, akan gugur jawatannya hanya melalui tiga sebab sahaja.Yang pertama, jika dia letak jawatan, kedua kalau Dun dibubarkan dan ketiga jika ada undi tidak percaya yang dikemukakan dalam sidang Dun. Itu saja tiga cara untuk memberhentikan seorang menteri besar. Jadi, tidak berlaku satu pun daripada tiga itu.

Dengan sendirinya, beliau masih lagi Menteri Besar yang sah.Tiba-tiba ada lantikan menteri besar yang kedua. Maka timbul persoalan, sahkah yang kedua itu, dalam keadaan Nizar masih lagi memegang jawatan? Ini memerlukan kepada keputusan yang perlu dibuat oleh pengamal undang-undang rasmi ataupun perintah mahkamah.

Ada kes seumpamanya iaitu kes 1966, membabitkan Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan, yang menyebabkan krisis tafsiran perlembangaan di negeri Sarawak. Undang-undang Tubuh Sarawak tidak jauh bezanya macam di Semenanjung seperti di Perak. Akhirnya kes itu sampai di Mahkamah Tinggi Borneo yang memutuskan perlembagaan negeri menyebut bahawa kehilangan kepercayaan seorang Ketua Menteri hanya boleh ditunjukkan melalui undang-undang, iaitu undi tidak percaya dalam dewan.

Oleh kerana ini tidak berlaku dalam Dun Sarawak, maka Kalong Ningkan terus menjadi Ketua Menteri. Tidak berlaku pula kata beliau melawan atau melanggar undang-undang. Image

Hal sama berlaku di Perak, jika mahu memberhentikan seorang menteri besar, sepatutnya undang-undang tubuh itu jadi penentu. Jika nak digugurkan, gugurkanlah dengan tiga cara itu tadi. Bagi saya, kenapa perlu Nizar letak jawatan sedangkan ketika itu masih ada 28 kerusi Pakatan, juga 28 kerusi BN dan tiga kerusi bebas. Mengapa dia mesti letak jawatan?

Adapun tiga Adun yang bebas itu, selama-lamanya bebas. Mereka boleh undi kekalkan atau singkirkan menteri besar. Yang penting, semua mesti dilakukan dengan undi tidak percaya. Kalau di luar dewan mengaku nak sokong BN, adakah pengakuan luar dewan dikira ada kesan undang-undang atau boleh diguna dari sudut undang-undang tubuh negeri?

Jadi wajar Dun dibubarkan dan kembali mandat pada rakyat. Rakyat yang pilih, biar rakyat yang menentukan semula. Nizar tidak meletakkan jawatan kerana dia memegang amanah rakyat,dia hendak kembalikan semula kepada rakyat. Itu tafsirannnya.Saya tidak nafikan Tuanku Sultan ada tafsirannya.

Jadi jika ada perselisihan tafsiran undang-undang, maka saya tidak fikir itu boleh dinamakan sebagai derhaka. Itu proses biasa dalam amalam demokrasi, telah berlaku di Malaysia dan mana-mana negara di dunia. Ini bukan kali pertama di Perak. Ini sepatutnya diselesaikan dengan cara paling baik iaitu, kembalikan kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan.

Atau kita berlapang dada dan bersabar sedikit, biar Mahkamah Tinggi memutuskan kesahihan perlantikan menteri besar kedua.

Dengan membawa isu ini ke mahkamah, sesetengah pihak melihat tindakan undang-undang itu boleh meletakkan kedudukan Raja-Raja Melayu terjejas dan menyebabkan institusi istana tercalar dari segi kemuliaan dan penghormatan rakyat. Apa pandangan Dato?

Dalam sejarah di Malaysia, sudah ada beberapa kes membabitkan raja yang dibawa ke mahkamah, maka ia bukan kali pertama berlaku. Ini pada saya tidak menjejaskan kemuliaan Raja-raja.Saya ingin menegaskan Raja-Raja Melayu perlu kekal pada takhta mereka. Rakyat perlu bersatu dan mengekalkan kedudukan mereka. Tetapi itu tidak bermakna secara mutlak ataupun dianggap peluang untuk melakukan apa saja oleh seorang raja.

Merujuk kes di Perak, tidak timbul terjejasnya institusi raja. Keputusan Sultan Perak dikira wajar bagi pihak sultan dan kewajaran Nizar juga ada dipihak rakyat. Kedua-duanya memikirkan kewajaran masing-masing. Ia proses biasa dalam sistem demokrasi berParlimen dan raja berperlembagaan.

Jika perlu, ia seharusnya diputuskan di mahkamah, tetapi pilihan lebih terbaik adalah bubarkan Dun, untuk diadakan pilihan raya seluruh negeri semula.Memang tidak terjejas institusi raja-raja kerana kita kembalikan hak kepada rakyat yang ikhlas mahu membuat pilihan pemimpin mereka sendiri. Kita perlu sangat menjaga raja-raja tetapi bukanlah sesuatu yang ganjil pada masa sama diadakan pilihan raya negeri. Image

Istilah 'sembah derhaka' yang dilafazkan Dato' Ser Nizar ketika menghadap Sultan telah menimbulkan tanggapan negatif, terutama oleh pihak media, walaupun sudah dijelaskan oleh pakar perundangan juga pakar bahasa. Malah Dato' sendiri turut mengulasnya, tetapi Menteri Besar Perak itu tetap dilabel penderhaka hanya kerana istilah istana itu. Mohon Dato' jelaskan lebih lanjut maksud sebenar istilah 'sembah derhaka' itu.

Istilah 'sembah derhaka' bukan bermaksud perbuatan menderhaka tetapi sengaja pihak-pihak tertentu dan media arus perdana 'menangguk di air yang keruh'. Mereka telah mengungkit dan membesar-besarkan bahawa apabila Nizar 'sembah derhaka', seolah-olah ianya 'confrim' derhaka kepada raja.

'Sembah derhaka' bermaksud apa yang diminta oleh seorang Raja atau Sultan tidak dapat dipenuhi atau ditunaikan oleh seorang hamba rakyat, sama ada kecil atau yang besar. Justeru, seseorang rakyat akan menuturkan bahawa 'patik sembah derhaka'. Ia bukan bermaksud perbuatan menderhaka, melawan atau menyakiti raja.

Contoh terdekat, minggu lepas saya dititah untuk mengadap seorang Raja di Kuala Lumpur. Tetapi saya tidak dapat hadir kerana ada urusan lain, lalu saya terpaksa memaklumkan bahawasaya terpaksa 'sembah derhaka' dan meminta tarikh lain untuk bertemu.Maknanya, kehendak raja saya tidak boleh tunai. Adakah itu maksudnya saya derhaka?

Begitu juga apabila saya mahu dilantik untuk menjadi Mufti di sebuah negeri, dan waktu saya nak menolak saya sebut 'patik terpaksa sembah derhaka'. Dan bukan sekali saya, dalam konteks berurusan dengan Tuanku Raja-Rama Melayu, yang mana saya terpaksa 'sembah derhaka'. Ia suatu istilah bahasa istana.Dan tidak timbul soal kemurkaan raja kerana itu istilah yang lazim diguna pakai.

Tidak sepatutnya pihak-pihak tertentu memperalatkan istilah yang dipakai Nizar, 'sembah derhaka' sebagai perbuatan derhaka yang sebenarnya. Dari sudut bahasa, ia dilafazkan apabila apa yang diminta raja itu tidak boleh ditunaikan. Apabila diberikan sebab-sebab yang munasabah kepada raja maka ia bukanlah derhaka.Kalau itu dianggap derhaka, sebenarnya banyaklah perbuatan derhaka kepada raja, tetapi ia tidak pernah ditonjolkan.

Saya tidak mahu sebut kronologi yang jelas tentang perbuatan menderhaka dan menyakiti raja ini kerana tidak mahu terdedah kepada umum wujudnya pihak-pihak tertentu yang memang benarderhaka kepada raja sehingga menggambarkan wujud masalah antara istana dan pihak-pihak tertentu itu.

Ada menteri besar yang sepatutnya tiap minggu pada hari tertentu menghadap raja untuk memberi taklimat tentang perkembangan negeri, langsung tak datang. Ada yang raja yang minta wang rakyat digunakan untuk projek demi kepentingan rakyat, tetapi menteri besar membazir untuk projek mega yang memperkayakan kroni.

Ada raja yang suruh menteri besar hentikan projek tertentu kerana membazir, tetapi tidak diendahkan. Ada raja suruh bantu ekonomi orang Melayu, dengan menyalurkannya melalui projek tertentu, tetapi tetap diagihkan kepada kroni mereka.

Malah ada seorang raja yang memberitahu saya, ada pemimpin di negerinya yang terajang pintu istana kerana tidak puas hati dengan baginda. Bukankah itu satu tindakan yang jauh lebih menderhaka lagi.

(Bersambung)_

Harakahdaily | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Fri | Feb 20, 09 | 12:14:06 am MYT

No comments:

Post a Comment