Tuesday, December 4, 2012

~ NASIHAT DARI AYAHNDA DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN~



Wahai anakku,
Janganlah engkau mencari sanjungan manusia dengan kemurkaan Tuhanmu, kerana engkau akan berpisah dengan manusia yang menyanjungmu, dan kamu akan dihadap kepada Tuhanmu. Tetapi carilah keredhaan Tuhanmu walau ia dibenci oleh rakanmu. Namun sebaiknya engkau carilah kerehaan sahabatmu melalui keredhaan Tuhanmu.


Wahai anakku, 
Aku meyaksikan betapa ramainya manusia sanggup mengenepikan keredhaan Tuhannya semata mata mencari keredhaan kawannya. Ia sanggup melanggar perintah Allah demi menjaga hati kawannya. Ia khuatir kehilangan kawannya dari kehilangan Tuhannya. 


Wahai anakku,

Engkau boleh mencari seramai mungkin kawanmu, namun belum tentu mereka akan redha kepadamu kerana ketaatanmu kepada Tuhanmu. Kerana itu janganlah engkau berdukacita di atas kehilangan sahabatmu kerana ketaatanmu kepada Allah. Kerana mungkin dengan cara, Allah ingin memeliharamu dari kejahatan mereka yang akan merosakkanmu dan menjauhkanmu dari Allah.

Wahai anakku,

Sahabat yang baik itu ialah sahabat yang sering mengigatkan kamu terhadap perintah dan larangan Tuhanmu, bilamana kamu lupa. Berbahagialah wahai anakku, seandainya Allah mempertemukan kamu dengan sahabat sebegini, kerana sukarnya engkau mencari sahabat yang sayang kepadamu kerana Allah dan menegurmu kerana Allah.

Wahai anakku,

Jadilah kamu sahabat yang ikhlas dalam persahabatan kerana Allah. Engkau akan bahagia bersama sahabatmu dalam mentaati perintah Allah dan meninggalkan maksiat kerana takutkan kemurkaan Allah. Alangkah indahnya persahabatan itu, kerana ia sentiasa dalam rahmat Allah. Untuk itu, wahai anakku, pilihlah sahabatmu, kerana saorang sahabat itu boleh membawa kamu ke syurga atau neraka. 

Sahabat yang baik itu wahai anakku, ialah :
  • seorang sahabat yang kamu dengar perkataannya menambahkan ilmumu
  • engkau lihat perbuatannya mengigatkan kamu kepada alam akhirat, dan 
  • engkau berjalan bersamanya, engkau terasa dekat dengan Allah.

Semoga Allah memeliharamu dalam persahabatanmu dan menjauhkan kamu dari sahabat yang merosakkan kamu.

Salam sayang........ Senyum selalu.


No comments:

Post a Comment