Saturday, September 7, 2013

~ YAKINLAH DENGAN JANJI ALLAH SWT ~

7.9.13 | Sabtu | Bayan Lepas

Alkisah seorang gila…

Seorang peniaga buntu kerana hutang melampau melihat masa depannya dengan malap.

Para pemungut hutang sedang memburunya. Pembekal mengejarnya. Keluarganya memerlukannnya.

Beliau duduk menyendiri di satu taman termenung apakah nasib dia dan bisnesnya. Beliau berdoa agar diberikan satu jalan keluar dari mimpi ngeri ini. 

Tetiba ada seorang tua lalu di depannya dan menegur beliau: “Muka kamu nampak suram walau Allah masih memberikan cahaya matahari ke bumi. Apakah masalah kamu?”

Melihat orang tua itu yang keseorangan seperti dia, peniaga pun mengambil peluang untuk meluahkan segala yang terpendam di hati.

Setelah mendengar rintihan peniaga, orang tua itu berkata: “Saya boleh membantu kamu. Apa nama kamu?”

Setelah peniaga menjawab, orang tua itu terus menulis sekeping cek dan memberikannya kepada peniaga.

“Ambil duit ini dulu. Jumpa saya di sini tahun depan dan bayar balik,” kata orang tua itu lalu beredar dengan cepat.

Peniaga masih terkejut dengan apa yang berlaku. Setelah orang tua itu beredar, peniaga membuka cek itu dan melihat ianya tertera RM1 juta, ditandatangani oleh seorang bertaraf Tan Sri.

“Saya boleh membayar habis hutang dan selamatkan bisnes saya,” bisik peniaga tersebut. Namun, peniaga itu mengambil keputusan untuk menyimpan dahulu cek tersebut dan hanya digunakan apabila jalan dah betul-betul buntu.

Dengan bersenjatakan keyakinan yang baru kerana ada cek bernilai RM1 juta di tangan, peniaga itu menggunakan akalnya sendiri untuk menyelesaikan hutangnya.

Dia berjaya memujuk agar para pengejar hutang memberikan masa dan peluang untuk dia membuat ansuran. Pada pembekal pula, dia berjaya menyakinkan bahawa bisnes dia akan pulih semula dan hutang akan dibayar nanti.

Akhirnya, tanpa menggunakan cek tersebut, peniaga secara tidak sedar telah berjaya menyelamatkan bisnesnya dan juga melangsaikan hutangnya dalam masa beberapa bulan.

Tepat setahun kemudian, peniaga itu pulang ke taman itu untuk memulangkan cek bernilai RM1 juta kepada orang tua itu.

Seperti yang dijanjikan, orang tua itu muncul. Peniaga sangat gembira. Ketika peniaga ingin menyerahkan cek tersebut dan bercerita mengenai kejayaannya kepada orang tua itu, tetiba ada seorang jururawat lari datang menjerit, “Tan Sri Tan Sri jangan lari.”

Orang tua itu cuba lari tapi akhirnya dapat ditangkap oleh jururawat tersebut.

“Maafkan saya tuan. Harap tadi pakcik ini tidak mengganggu tuan. Dia ini pesakit mental yang selalu curi keluar daripada rumah orang tua di belakang taman ini dan menggelar dia seorang Tan Sri.”

Jururawat itu membawa orang tua itu beredar. Peniaga itu terkejut lagi di taman yang sama.

Setahun ini, dia berusaha dengan penuh yakin berunding dengan pengutip hutang dan pembekal kerana ada cek RM1 juta di tangan.

Rupa-rupanya, bukan duit RM1 juta, samada betul atau palsu, yang menyelamatkannya. Yang menyelamatkannya ialah keyakinan barunya selepas menerima cek RM1 juta yang menyebabkan dia bersemangat untuk berusaha mencapai segala yang dihajatnya.

Wahai anakku,
Kisah di atas dinukilkan supaya engkau faham, segalanya bermula dengan mindamu. Jika kamu fikirkan kamu boleh, kamu boleh melakukannnya.

Senyum ayahnda Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man.


# Hatiku bukan milikku ~ 

No comments:

Post a Comment