.: SEGENGGAM GARAM SUDAH DITAKDIRKAN RASANYA MASIN :.
Sahar suka memperbesar-besarkan masalahnya – yang kecil menjadi besar, yang besar menjadi tragedi. Sahar sentiasa merasakan tiada orang yang lebih sengsara daripada dia – bahawa semua masalah orang lain tidak serumit apa yang dia hadapi.
Ustaz Ismail adalah seorang yang selalu mendengar rungutan daripada Sahar – apabila Sahar ada perkara yang perlu diadukan, Sahar akan berjumpa dengan Ustaz Ismail.
Ustaz Ismail selalu berpesan pada Sahar usah rumitkan perkara – masalah Sahar juga dialami orang lain, akan tetapi, mereka menghadapinya sebagai ujian Allah.
Sahar kata beliau terasa pahit dengan masalah beliau, dan pasti orang lain tidak merasa kesusahan beliau walaupun masalah sama – dan menyoal mengapa Allah mengujinya lebih berat daripada orang lain.
Apabila keadaan Sahar bertambah kronik, Ustaz Ismail menyuruh Sahar membawa garam ke masjid untuk berjumpanya…
“Ambil segangam garam dan masukkan dalam cawan ini dan minum,” kata Ustaz Ismail kepada Sahar.
Sahar tidak faham mengapa lalu bertanya, “Mengapa?”
“Buat dulu, enta akan faham nanti… ia bakal selesaikan masalah kepada semua masalah enta,” kata Ustaz Ismail.
Sahar pun melarut segangam garam ke dalam cawan kecil dan minum…
“Bagaimana rasa air itu?” tanya Ustaz Ismail.
“Masin sampai pahit,” jawab Sahar… “Apa ini ustaz? Air ini lebih teruk daripada air laut…”
“Sabar… sekarang ambil segangam garam macam tadi dan masukkan dalam tong ini,” kata Ustaz Ismail…
Sahar pun menurut arahan dan melarutkan segengam garam ke dalam tong besar itu.
“Sekarang ambil air dari tong dan minum,” arah Ustaz Ismail.
Sahar pun melakukan seperti yang diarahkan.
“Bagaimana rasanya?”
“Tawar seperti air biasa…” kata Sahar.
“Rasa tak garam itu…?” tanya Ustaz Ismail…
“Tak,” jawab Sahar. Ustaz Ismail mengambil tangan dan meletakkan di belakang bahu Sahar dan bercerita…
“Kesusahan hidup di dunia ini adalah seperti segangam garam – sama banyak, sama kurang. Kesusahan hidup di dunia sentiasa sama. Tapi kepahitan hidup bergantung pada acuan yang kita letak kesusahan hidup kita di dalam.
Apabila Sahar merasa susah dan payah, apa yang Sahar boleh buat ialah meluaskan minda pemikiran seperti melarutkan garam di dalam tong tadi. Jika minda Sahar kekal saiznya seperti cawan, akan terasa pahit – jika minda Sahar menjadi tong, air bersama garam yang banyak tadi akan jadi air yang menyegarkan pula.
Jangan jadi cawan, jadilah tong besar – kalau boleh larutkan garam itu dalam kolam besar, lagi tak rasa kesusahan itu.”
Sahar mengalirkan air mata. “Ustaz, ana sayang ustaz. Terima kasih Allah kerana mengutuskan ustaz untuk membantu ana. Ana tahu apa nak buat,” Sahar memeluk Ustaz Ismail sebelum beredar… Sejak itu, Sahar bertukar menjadi seorang yang ceria dan setiap masalah bukanlah masalah lagi kepadanya, cuma tugas yang buat sementara waktu ini tiada penyelesaian.
Wahai anakku,
Ketahuilah wahai anakku, perumpamaan dunia hanyalah sekadar mana air lautan yang melekat di jari yang dicelup dalam lautan, sedangkan akhirat ialah sebanyak mana air laut itu.
Jangan jadi cawan, jadilah kolam besar, barulah kamu dapat berasa tawarnya dunia berbanding masinnya di akhirat.
Senyum.
Ayahnda
No comments:
Post a Comment