Saturday, January 3, 2009

UNIVERSITI ADALAH 'RUMAH PENYEMBELIHAN' - Sayyid Abul 'Ala Maududi

Sedang saya mengembara dan berkelana sendirian di lautan maklumat maya yang bergelora atau dalam bahasa penjajahnya; 'internet' saya menemui sebuah petikan ucapan yang menarik untuk kita renungi bersama:-

"Dear students! You have spent many years of your life at this institution to acquire education. You have eagerly been waiting for the day when you will reap the harvest of your labour in the form of a degree. I am aware of your emotions on this occasion, and that is why it pains me to express my thoughts so bluntly.

Frankly speaking, I consider this Alma Mater, in fact all Alma Maters of this kind, slaughter houses rather than educational institutions. The degrees to be awarded are in fact death certificates, issued when the murderer is satisfied that he has accomplished his task; fortunate are those who escape from this organised butchery with still some spark of life.

I have not come here to congratulate you on receiving these death certificates. I am, rather, overwhelmed with grief to see you in such a miserable plight. I am like someone seeking a person who might still be alive among a mass of corpses."

Ucapan di atas adalah titipan bicara Sayyid Abul 'Ala Maududi (1903-1979) kepada kaum mahasiswa yang melihat universiti sebagai 'rumah penyembelihan' yang mencetak segulung 'sijil kematian'. Berikut adalah terjemahannya dalam bahasa Melayu:-

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Tamat petikan ucapan Abul 'Ala al-Maududi.

Sama ada kita mahu bersetuju atau tidak, hal itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, jika diteliti dengan rinci terasa ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Sebenarnya, apa peranan tertinggi kaum pelajar? Apa hubungan pelajar dengan masyarakat dan rakyatnya? Apa tujuan universiti ditubuhkan dan apa kaitan kena-mengenanya kaum kapitalis dengan universiti?

Mari kita tinggalkan dahulu soalan ini kepada sesiapa yang suka menjawabnya ?

Universiti bagaikan 'rumah penyembelihan'?

Kembali kepada ucapan al-Maududi. Meneliti ucapannya, kita melihat sepertinya beliau sudah tidak lagi mempercayai universiti. Mungkin universiti itu di luar negeri atau di Pakistan. Beliau tidak mengupas dengan lebih rinci. Oleh itu, mari kita anggap semua universiti sama saja sifatnya; 'rumah penyembelihan'. Dan pelajar itulah yang akan disembelih. Penyembelih, mungkin TNC HEP atau Kementerian Pengajian Tinggi.

Tapi jangan lupa. Al-Maududi mungkin telah hilang kepercayaan ke atas universiti sebagai 'rumah penyembelihan'. Tetapi beliau masih menaruh harapan tinggi ke atas mahasiswa-mahasiswa yang diucapkannya sebagai:-

"Alangkah bertuahnya kepada mereka (mahasiswa) yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan."

Lalu, al-Maududi menyifatkan dirinya sebagai:-

Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."

Secara ringkasnya kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa al-Maududi mungkin hilang rasa percaya ke atas sistem pendidikan universiti, tetapi masih menaruh harapan tinggi ke atas para mahasiswa universiti. Sebab itulah beliau menafsirkan dirinya sebagai seorang pencari 'manusia (mahasiswa) yang masih hidup dalam timbunan mayat' di rumah penyembelihan yang bernama universiti.

Tapi, tidak diketahui apakah punca al-Maududi berkata demikian. Mungkin, beliau telah dihalau daripada memberi ceramah di universiti seperti UKM membatalkan ceramah mengenai Palestin kerana panel jemputannya dikatakan tidak serasi dengan pihak atasan UKM pada tahun lalu.

Atau, beliau mungkin kecewa ke atas sejenis sistem berhutang yang dikenakan terhadap pelajar yang belajar di universiti yang mana kadar faedahnya (riba) membebankan pelajar sehinggakan hal itu diibaratkan beliau sebagai tindakan menyembelih pelajar laksana PTPTN menyembelih mangsanya?

Ini semua adalah teka-teki yang belum dapat dirungkai dan menjadi sebuah misteri yang belum terungkap dengan jelas kebenarannya. Khaled Nordin belum tentu dapat jelaskan hal ini kerana beliau masih baru menjawat jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Sepatutnya, Khaled membawa isu ini dibincang di UTM ketika beliau membawa lambang Umno, BN di UTM sebelum pilihan raya lalu kalau beliau tahu Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi akan melantiknya kepada jawatan berkenaan sebagai suatu langkah persediaan.

Ini kerana, pelajar yang sedar dan yang enggan disembelih telah pun muak, loya serta melugai dengan kenyataan terbaru Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan Auku. Ini sudah pasti akan melibatkan pindaan mengikut suka hatinya, pelajar dan pensyarah yang rela hidung mereka dicucuk hari ini untuk disembelih pada keesokan harinya.

Mahasiswa dan pensyarah yang tidak rela hidung mereka dicucuk untuk disembelih sudah pun menghidu bahawa pindaan Auku 1971 ini tidak bertujuan memansuhkan artikel 15 (1), (2), (3) dan lainnya yang memberi kebebasan kepada warga kampus berpolitik dan menjalankan kegiatan akademik yang ada kaitannya dengan politik negara.

Jadi, mana mungkin Khaled akan terfikir kedudukan universiti sebagai 'rumah penyembelihan' sebagai yang dilontarkan al-Maududi pada awal-awal perbincangan tadi.

Kepada golongan pakcik makcik kita yang pernah mengikuti silibus atau kurikulum usrah-usrah sejak 1970-an dahulu tentunya terdedah dengan kupasan al-Maududi dan Hasan al-Banna di dalam usrah mereka. Dalam erti kata lain, pemikiran al-Maududi dan al-Banna adalah seangkatan zaman.

Suatu masa dahulu saya pernah menulis sedikit di ruangan ini tentang betapa tingginya harapan al-Banna terhadap golongan mahasiswa sehingga beliau membuat suatu muktamar rapat umum khas untuk menyampaikan wasiat kepada golongan pelajar. Maka, demikian dengan al-Maududi. Harapannya menggunung. Cuma, penyampaiannya sedikit berbeza bercampur nada kecewa.

Hubungan pelajar dan rakyat amat erat

Makcik Hamsiah, 53, seorang suri rumah dari Kelang melihat golongan tua yang baru pulang dari Mekah kerana menunaikan fardhu haji boleh dianggap sebagai graduan dari 'universiti' Allah.

"Sepatutnya, datuk nenek yang sudah mendapat 'ijazah' kerana menunaikan haji di Mekah ini akan kembali ke pangkuan keluarga dan menasihatkan cucu-cicit dan anak-anak mereka supaya jangan terpengaruh dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

"Tapi, realiti yang terjadi kini sudah berbeza. Mereka kembali dan cuma menjamu para tetamu dengan kurma dan air zam zam. Mereka seolah-olah terlupakan urusan dakwah kepada keluarga masing-masing," kata makcik itu kepada saya dulu.

Saban tahun, kita mendengar dan melihat paparan kisah pelajar sekolah rendah dan menengah yang mendapat keputusan terbaik dalam UPSR, SPM dan STPM. Di universiti, kita akan melihat hal yang sama berlaku. Tapi, dengan ilmu mereka, apakah masyarakat berubah menjadi baik?

Inilah madrasah tarbiyyah peninggalan Rasulullah s.a.w yang diwarisi al-Banna dan al-Maududi. Misalkan Gua Hira' adalah 'universiti' terpencil tempat baginda berkhalwat dan bersuluk hingga didatangi mahaguru Jibril a.s yang menyampaikan wahyu pertama.

Sesudah itu baginda turun daripada gua untuk menyebarkan dakwah dan risalah kebenaran. Dan kaedah inilah yang cuba diterapkan oleh al-Banna di mana usrah menjadi tempat berhimpunnya para sahabat untuk mengkaji al-Qur'an untuk disebar kepada keluarga dan masyarakat sekitar.

Usrah itu medan akliah, lapangan akademik yang bertenaga memancarkan sinar pencerahan ke atas masyarakat sekitar. Sememangnya, begitulah cara sinar-sinar kebenaran itu terhimpun dan terkumpul di suatu tempat, lalu limpahan sinar itu tercurah ke lembah gelap yang lain pula.

Sudah berapa banyak sekolah didirikan? Sudah berapa banyak 'universiti dhirar' dibina? Tapi, ada berapa banyak kes jenayah diselesaikan? Musa Hassan datang berceramah tentang jenayah di USM pun cuma untuk menyindir Kelantan banyak jenayah, apa kes? Patutlah jenayah makin teruk menjadi-jadi. Dua SB dihantar untuk merakam (menyembelih?) ucapan NC USM, apa kes?

Tepatlah, universiti sekarang sudah berubah menjadi 'rumah penyembelihan'. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai Gua Hira' tempat Nabi Muhammad bertemu mahagurunya; Jibril a.s dan tidak seperti Buddha menerima pencerahan di bawah pokok Bodhi.

Tidak ramai pelajar bertindak sebagai nabi-nabi

Sudah tidak ramai lagi kaum terpelajar yang bersikap bagai nabi-nabi, rasul-rasul dan wali-wali yang menyendiri, bersuluk, berkhalwat di sebuah tempat yang sunyi. Dan, akhirnya setelah dia mencapai pencerahan atau menerima wahyu daripada 'universiti', mereka keluar menyebarkan risalah agama. Selepas berijazah, mereka mencari kerja dan bernikah. Itu saja.

Alangkah mulia dan keramatnya seorang kanak-kanak tadika, Pasti dan Taski yang belajar doa makan dan minum daripada ustazahnya. Dan, apabila makan minum bersama keluarga, anak itu akan menegur ayah dan ibunya: "Kenapa abi dan umi tidak baca doa dulu sebelum makan?"

Jikalau al-Maududi masih hidup, tentu beliau berkata lebih kurang begini: "Yang belum menjadi 'rumah penyembelihan', hanya tadika, Pasti dan Taski dan kindergarten sahaja."

Dalam tradisi pendidikan Islam warisan Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali, antara peranan ilmu ialah mendidik jiwa agar lunak dan patuh kepada Allah. Tetapi, menurut al-Ghazali, dalam proses didikan itu, apabila sampai waktunya, guru perlu meninggalkan sang murid kerana hati murid itu sudah tidak dapat lagi dirawat.

Dalam suasana masyarakat hari ini, mahasiswa, rakyat atau golongan bawahan kita masih lagi boleh dirawat kerana dalam hati mereka sentiasa ada sikap merendah diri dan ingin bertaubat apabila dirundung masalah. Kita hanya berdepan dengan masalah orang atasan. Buktinya, walaupun kalah dalam pilihan raya, mereka masih belum berubah dan angkuh mempertahankan kuasa sehingga sanggup menderhaka kepada sultan. Mereka ini tidak boleh dirawat lagi.

Bak kata Fansuri, "Melentur buluh biar daripada rebungnya. Nanti apabila jadi buluh, dia boleh berkata kepada musuhnya, sekarang bertemulah buku dengan ruas. Atau, bolehlah dibuat rakit untuk berkelana dan mengembara mencari pengetahuan. Tapi, kalau buluh itu tidak kuat juga, barulah 'disembelih' untuk diisikan pulut dibuat lemang pada akhirnya."

Ditulis oleh Ali Bukhari Amir
6:13 pagi, 26 Mac 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Srikandi petik dari Harakah Daily.

No comments:

Post a Comment