Monday, January 5, 2009

KEDUDUKAN DAN KEPENTINGAN SOLAT DALAM ISLAM : II

Alhamdulillah dapat juga aku sambung tajuk ini ke bahagian II seperti yang aku janjikan dulu dalam post Kedudukan dan kepentingan solat dalam Islam.

Solat adalah suatu penghormatan yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita di mana kita diizinkan mengadap-Nya dengan rasmi sebanyak lima kali sehari semalam.

Sedangkan dalam hidup kita seharian pun belum tentu kita dapat membuat perjumpaan rasmi dengan bos kita sebanyak lima kali, siap dengan dibolehkan pula untuk mengemukakan pelbagai permohonan dan rayuan.

Solat juga merupakan satu kunjungan mahabbah bagi menziarahi Rasulullah s.a.w di mana kita memberi salam dan mempersembahkan ibadah dan doa restu kepada Baginda semasa membaca tahiyyat.

Selain itu, melalui kewajipan berjemaah dan fardhu Jumaat solat adalah suatu ibadah yang mempunyai hubungan dua hala iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Kerana tinggi dan mulianya kedudukan solat itu, maka perintah kewajipannya disampaikan sendiri oleh Allah s.w.t kepada Rasul-Nya pada malam Israk dan Mikraj.

Bukan setakat itu sahaja, Allah s.w.t juga telah memperkukuhkan lagi perintah-Nya itu dengan mengulangi suruhan menunaikan kewajipan solat itu berulang kali di dalam Al-Quran.

Sehinggakan di saat-saat kewafatan Rasulullah s.a.w pun, Baginda tetap berpesan lagi kepada umatnya dengan sabda yang bermaksud,

“Peliharakanlah solat! Peliharakanlah solat! Dan peliharakanlah hamba-hamba sahaya kamu!” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Justeru teramat penting dan mulianya solat, Allah dan Rasul-Nya telah mempertanggungjawabkan ke atas bahu ketua keluarga untuk melaksanakan kewajipan munyuruh keluarganya bersolat.

Firman Allah yang bermaksud,

“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat, dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah), akibat (yang baik itu adalah) bagi (orang-orang yang bersifat dengan) taqwa.” (Toha: 132)

Tanggungjawab ibu bapa mendidik dan memerintah anak-anak mereka bersembahyang sudah bermula semenjak si anak berumur tujuh tahun. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud,

“Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (jika mereka meninggalkan solat) semasa mereka berumur sepuluh tahun, dan juga (dalam peringkat umur tersebut) hendaklah dipisahkan tempat tidur mereka (jauh) antara satu dengan yang lain,” (Hadith riwayat Abu Daud).

Demikianlah kedudukan solat. Betapa pentingnya solat dalam Islam. Sama-samalah kita tingkatkan usaha memeliharanya. Wallahu a’lam.

Srikandi petik ari Soleh.Net

1 comment:

  1. salam ziarah..satu pendekatan yang bagus..alhamdulillah.. :)

    ReplyDelete