Beberapa hari lepas, kita dah bincang tentang betapa pentingnya solat. Dalam tajuk Solat itu fardhu bagi umat islam, dapat kita simpulkan bahawa selagi kita bernyawa, selagi itulah solat difardhukan (diwajibkan) bagi kita umat Islam.
Kedudukan solat dalam Islam adalah teramat tinggi dan teramat mulia. Perkara ini telah diperjelaskan dalam sabda nabi s.a.w yang bermaksud:
“Sembahyang itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikannya bererti dia telah menegakkan agamanya. Kemudian sesiapa yang meninggalkannya bererti dia telah meruntuhkan agamanya” — Hadis riwayat Baihaqi.
Sanggupkah kita meruntuhkan agama? Tepuklah dada, tanyalah iman.
Sebelum kita pergi lebih jauh, aku nak tanya dulu. Pembaca Soleh.Net dah solat ker?
Kalau belum, pergilah solat dulu. Lepas tu jangan ke mana-mana, sambung balik baca Soleh.Net dengan penuh khusyuk dan tawadduk.
Dalam memperjelaskan kepentingan solat, Rasulullah s.a.w bersabda lagi, yang bermaksud:
“…dan tiada agama bagi orang yang tidak menunaikan solat. Sesungguhnya kedudukan solat dalam agama Islam diibaratkan seperti kepala kepada tubuh badan” — Hadis riwayat at-Tabrani daripada Ibnu Umar r.a.
Uish, tak pedih ker baca sabda ni? Ibarat kepala di tubuh badan. Kalau takde kepala, memang tak hidup! Jadi janganlah kita pandang rendah perihal solat.
Yang setia dan tak pernah tinggal solat tu, alhamdulillah. Yang masih lagha dan main-main tu, bertindaklah segera, moga-moga masih belum terlambat.
Satu lagi sabda nabi s.a.w yang juga riwayat at-Tabrani yang memperkatakan perihal solat, yang bermaksud:
“Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah solat. Maka sekiranya solat itu elok nescaya eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya solat itu rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak oleh Allah).”
Berat betul ibadah solat ni. Bukan seperti yang kita sangka. Bukan seperti yang kita amal. Harap-harap solat kita semua diberi petunjuk, supaya elok dihisab oleh Allah di Akhirat nanti.
Solat adalah rukun Islam yang kedua dan yang paling utama selepas mengucap dua kalimah syahadah.
Menurut kitab Fiqh As-Solah, di dalam sesebuah solat itu terkumpul hakikat kelima-lima rukun Islam, termasuklah ucapan dua kalimah syahadah, zakat, puasa, dan haji.
Menakjubkan! Mengucap tu memang kita tahu. Tapi, macam mana boleh ada zakat dan haji pulak? Haa, inilah yang kita nak kupas hari ni.
Menurut kitab Fiqh As-Solah lagi, memberi salam merupakan doa memohon keselamatan dan kesejahteraan kepada orang lain.
Salam ini menepati pemberian zakat untuk menolong orang-orang yang susah supaya mereka pun hidup bahagia, aman dan sejahtera.
Solat itu sendiri merupakan zakat harian. Ini kerana orang yang bersolat demi kerana menunaikan kewajipan solatnya, dia telah merelakan dirinya menunaikan ibadah solat dan sanggup mengorbankan masanya yang berharga yang boleh digunakan untuk mencari harta kekayaan.
Jadi ketika dia menunaikan solat itu, bererti dia telah membelanjakan masanya yang berharga yang merupakan sumber untuk menghasilkan harta kekayaan untuk melaksanakan kewajipan solatnya.
Oleh itu, dia dikatakan seorang yang telah menzakatkan masanya untuk bersolat.
Malahan dia juga seorang yang telah menzakatkan hartanya kerana membeli pakaian keperluan solatnya sebagaimana orang yang berzakat mengeluarkan hartanya kerana kewajipan berzakat.
Selain itu, pelaksanaan solat itu telah merangkumi pengertian zakat dari segi bahasa, iaitu kebersihan dan kesuburan.
Dengan menunaikan solat bererti dia telah membersihkan waktunya dari perlakuan-perlakuan dosa sebagaimana zakatnya telah membersihkan hartanya.
Malah dia juga adalah seorang yang telah menambah dan menyuburkan lagi kebajikan dan pahala dari ibadah solatnya, sebagaimana zakat telah menambah dan menyuburkan keberkatan dan keuntungan kepada pemberi zakat.
Manakala dari sudut haji pula, menurut kitab Fiqh As-Solah, mengadap kiblat yang menghala ke arah ka’abah adalah menepati mengerjakan ibadah haji di Mekah. Sudut puasa tidak pula diterangkan dalam kitab ini.
Setakat ini sahaja aku nak sampaikan tentang kedudukan dan kepentingan solat.
Ini baru bahagian I, bahagian II akan menyusul tidak lama lagi, insya-Allah.
Sekian, wallahu a’lam.
Srikandi petik dari Soleh.Net
No comments:
Post a Comment