Monday, August 4, 2008
SoLaT SbGai 1 LaNgKaH MeMaKMuRKaN KeLaNTaN
Langkah Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat membawa usul ke Dewan Undangan Negeri untuk memperkenalkan menjadikan solat lima waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam telah disambut baik oleh masyarakat Islam di negeri tersebut.
Rata-rata beranggapan ianya sebagai satu langkah terpuji dan menyokong saranan YAB TG Nik Abdul Aziz yang menyatakan solat itu sebagai "satu tanggungjawab yang wajib yang perlu ditunaikan oleh orang Islam dan mereka yang tidak menunaikan rukun itu mempunyai masalah di dalam hati, iaitu kelemahan di dalam nilai akhlak dan moral."
Mungkin di dalam soal perlaksanaannya terdapat sedikit kesulitan namun ia tidak sepatutnya menjadi halangan besar untuk merealisasikan langkah terpuji itu.
Menurut YAB TG Nik Abdul Aziz cadangan untuk syarat menunaikan solat itu akan dijadikan sebagai satu kemestian dalam memegang jawatan sama seperti syarat kelayakan mesti lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan.
“Saya akan mencadangkan di dalam dewan sebagai syarat wajib untuk memilih jawatan ketua kampung, tok penghulu, pemimpin dan kakitangan awam. Mereka mesti menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.
“Syarat ini bagi memastikan mereka yang dipilih adalah mereka yang menjaga akhlak mereka supaya menjauhi daripada elemen rasuah dan tidak bermoral,” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12 berhenti rehat, di sini hari ini.
Beliau mengulas soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit, Muhamad Mustafa mengenai langkah kerajaan negeri bagi mengatasi gejala meninggalkan solat khususnya solat Jumaat dan sejauh mana penguatkuasaan undang-undang terhadap isu itu.
Kita menyokong penuh langkah kerajaan negeri Kelantan tersebut kerana ia merupakan satu usaha untuk mengjak manusia supaya benar-benar menjadi Kelantan sebagai sebuah negeri di bawah tadahan hidayah dan barakah daripada Allah s.w.t.
Ini kerana solat merupakan satu ibadah yang paling utama dari ibadah-ibadah yang lain seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani).
Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
Dan fimanullah di dalam Surah Thaaha ayat 132 yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
Mendirikan masjid tetapi tidak mendirikan solat adalah satu kecacatan yang paling besar menimpa umat Islam.
Saranan MB Kelantan tersebut juga perlu dilihat sebagai satu langkah untuk memakmurkan negeri dan rakyat Kelantan khususnya supaya kembali beriman kepada Allah s.w.t. setelah sekian lama negara dan umat Islam negara ini dipesongkan dengan kehidupan yang jauh daripada sistem kehidupan Islam yang menegakkan syiar Islam tetapi tidak kepada "pengisian" syiar Islam itu sendiri.
Firmanullah di dalam Suarh Al-A'raf ayat 96: "Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment